Kepercayaan Kami
Pernyataan Doktrin Equip
(Dari The Gospel Coalition)
- Tuhan yang Tri-tunggal
Kami percaya kepada Tuhan yang tunggal, yang wujud secara abadi dalam tiga Peribadi yang setara: Bapa, Anak dan Roh Kudus, yang mengenali, mengasihi dan memuliakan satu sama lain. Tuhan tunggal yang benar dan hidup ini adalah sempurna di dalam kasih dan kekudusan-Nya. Dia adalah Pencipta segalanya, yang kelihatan dan yang tidak kelihatan, dan oleh kerana itu layak menerima segala sembah dan kemuliaan. Abadi dan kekal selamanya, Dia dengan sempurna dan mendalam mengetahui penghujung dari permulaannya, memelihara dan memerintah secara berdaulat ke atas semua, dan membawa tujuan-Nya yang abadi untuk menebus manusia untuk diri-Nya sendiri dan memulihkan ciptaan yang telah rosak, untuk kemuliaan kasih-Nya yang agung.
- Wahyu
Tuhan telah mendedahkan kewujudan dan kekuasaan-Nya melalui segala ciptaan-Nya, dan telah mendedahkan diri-Nya kepada manusia yang fana melalui keperibadian Anak-Nya, Firman yang berinkarnasi. Lebih lagi, Tuhan ini adalah Tuhan yang berfirman yang melalui Roh-Nya telah mendedahkan diri-Nya dalam bentuk kata-kata manusia: kami percaya bahawa Tuhan telah mengilhamkan firman yang telah dipelihara di dalam Alkitab, enam puluh enam kitab Perjanjian Lama dan Baru, yang menjadi rekod dan alat untuk keselamatan-Nya di dalam dunia. Tulisan-tulisan ini membentuk Firman Tuhan yang diilhamkan secara lisan, yang sama sekali berautoriti dan tiada kesalahan di dalam penulisan asalnya, lengkap di dalam wahyunya tentang keselamatan, cukup untuk semua yang Tuhan mengkehendaki kita untuk percaya dan lakukan, dan mutlak di dalam autoritinya ke atas semua liputan pengetahuan di mana ianya berbicara. Kami mengakui semua keterbatasan dan keberdosaan telah menghalang kita daripada mengetahui kebenaran Tuhan secara mendalam, tetapi kami percaya bahawa, melalui pencerahan Roh Tuhan, kita boleh mengetahui dengan benar kebenaran Tuhan yang telah Dia dedahkan. Alkitab itu dipercayai, sepertimana diarahkan Tuhan, di dalam semua pengajarannya; dipatuhi, sepertimana diperintahkan Tuhan, di dalam semua yang ianya kehendaki; dan dipercayai, sepertimana yang telah Tuhan janjikan, di dalam semua janji-janjinya. Semasa umat Tuhan mendengar, percaya dan melakukan Firman, mereka diperlengkapkan menjadi murid-murid Yesus and menjadi saksi kepada injil.
- Penciptaan Manusia
Kami percaya bahawa Tuhan menciptakan manusia, lelaki dan perempuan, menurut serupa gambaran-Nya. Adam dan Hawa adalah termasuk di dalam karya penciptaan yang Tuhan isytiharkan sebagai sangat baik, bertujuan sebagai ejen-ejen Tuhan untuk memelihara, mengurus, dan memerintah penciptaan, hidup di dalam kekudusan dan persekutuan dengan Pencipta mereka. Lelaki dan perempuan, diciptakan setara menurut gambaran Tuhan, dan menikmati akses yang setara kepada Tuhan melalui iman kepada Yesus Kristus dan keduanya telah dipanggil untuk melangkah melampaui kepuasan diri kepada keterlibatan secara awam dan peribadi di dalam keluarga, gereja, dan kehidupan sivik. Adam dan Hawa telah diciptakan untuk saling melengkapi di antara satu sama lain dalam kesatuan dalam satu daging yang menjadi hanya satu norma hubungan di antara lelaki dan perempuan, kerana perkahwinan itu menjadi satu petunjuk kepada kesatuan di antara Kristus dan gereja-Nya. Menurut hikmat Tuhan, lelaki dan perempuan tidak sewenangnya ditukargantikan, tetapi mereka saling melengkapi di antara satu sama lain dengan cara-cara yang saling memperkayakan. Tuhan menetapkan bahawa mereka memegang peranan tersendiri yang menggambarkan hubungan kasih di antara Kristus dan gereja, di mana si suami mempraktikkan kepimpinan melalui cara yang penyayang, kasih Kristus yang sanggup berkorban, dan si isteri tunduk kepada suaminya melalui cara yang menggambarkan kasih gereja kepada Tuhannya. Di dalam pelayanan gereja, kedua-dua lelaki dan perempuan adalah digalakkan untuk melayani Kristus dan diperlengkapi untuk mencapai potensi mereka di dalam pelbagai pelayanan umat Tuhan. Peranan kepimpinan di dalam gereja yang diberikan kepada lelaki-lelaki yang berkelayakan adalah berdasarkan penciptaan, kejatuhan, dan penebusan dan tidak seharusnya diketepikan menurut perkembangan budaya.
- Kejatuhan
Kami percaya bahawa Adam, yang diciptakan menurut gambaran Tuhan, telah mencacatkan imej itu dan melucutkan keberkatan asalnya – untuk dirinya sendiri dan juga untuk keturunannya – dengan jatuh ke dalam dosa melalui godaan Syaitan. Akibatnya, semua umat manusia dipisahkan dari Tuhan, dan telah rosak segala aspek kehidupan mereka (cth: fizikal, mental, kehendak, emosi, dan rohani) dan terkutuk untuk kematian tanpa boleh ditarik-balik – melainkan dengan campur tangan Tuhan. Keperluan utama semua umat manusia adalah untuk didamaikan dengan Tuhan yang mana keadilan dan kemurkaan-Nya kita tanggungi; satu-satunya harapan semua umat manusia ialah kasih dari Tuhan yang sama, yang satu-satunya dapat menyelamatkan kita dan memulihkan hubungan kita kepada-Nya.
- Rencana Tuhan
Kami percaya bahawa sejak abadi Tuhan telah menentukan di dalam kasih-Nya untuk menyelamatkan sebahagian orang berdosa dari setiap suku kaum, bahasa dan bangsa negara, dan untuk itu Dia telah memilih mereka. Kami percaya bahawa Tuhan membenarkan dan menguduskan mereka yang telah meletakkan kepercayaan kepada Kristus, melalui kasih kurnia Tuhan, dan Dia akan memuliakan mereka suatu hari kelak – semuanya untuk pujian dan kemuliaan kasih kurnia-Nya. Di dalam kasih, Tuhan memerintahkan dan memohon agar semua umat manusia bertaubat dan percaya, setelah Dia menetapkan kasih-Nya yang menyelamatkan ke atas semua yang telah dipilih-Nya dan menetapkan Kristus sebagai Penebus mereka.
- Injil
Kami percaya bahawa injil itu adalah berita baik tentang Yesus Kristus – iaitu hikmat Tuhan sendiri. Suatu kebodohan kepada dunia, walaupun ianya adalah kuasa Tuhan untuk mereka yang diselamatkan, berita baik ini adalah kristologikal, berpusatkan kepada salib dan kebangkitan: injil itu tidak diberitakan jika Kristus tidak diberitakan, dan Kristus yang asli tidak diberitakan jika kematian dan kebangkitan-Nya tidak menjadi paksi utama (mesejnya adalah “Kristus mati untuk dosa kita…[dan] dibangkitkan). Berita baik ini adalah alkitabiah (kematian dan kebangkitan-Nya adalah berdasarkan Alkitab), teologikal dan menyelamatkan (Kristus mati untuk dosa kita, untuk memperdamaikan kita dengan Tuhan), dan berlaku di dalam sejarah (jika karya keselamatan itu tidak terjadi, maka iman kita tidak berguna, dan kita masih dibelenggu dosa, dan patut dikasihani melebihi segalanya), rasuli (mesej ini telah diamanahkan dan diturunkan oleh para rasul, yang menjadi saksi kepada kejadian ini), dan juga peribadi (di mana ianya diterima, dipercayai, dan dipegang teguh, peribadi itu akan diselamatkan).
- Keselamatan dari Kristus
Kami percaya bahawa, digerakkan oleh kasih dan ketaatan kepada Bapa-Nya, Anak yang abadi itu menjadi manusia: Firman menjadi daging, sepenuhnya Tuhan dan sepenuhnya manusia, satu Peribadi di dalam dua sifat. Yesus yang manusia itu, Mesias yang dijanjikan kepada Israel, telah dikandungkan melalui keajaiban Roh Kudus, dan diperanakkan oleh Maria si perawan. Dia mentaati Bapa syurgawi-Nya dengan sempurna, hidup tanpa dosa, melakukan kerja-kerja ajaib, disalibkan di bawah pemerintahan Pontius Pilatus, bangkit dari kematian pada hari ketiga, dan diangkatkan ke syurga. Sebagai Raja pengantara, Dia duduk di sebelah kanan Tuhan Bapa, mempraktikkan di syurga dan di bumi semua kedaulatan Tuhan, dan Dia juga adalah Imam Besar dan Pembela kita yang kudus. Kami percaya bahawa melalui inkarnasi, kehidupan, kematian, kebangkitan, dan kenaikan-Nya, Yesus telah menjadi wakil dan pengganti kita. Dia melakukannya supaya di dalam-Nya, kita juga dibenarkan di hadapan Tuhan: di atas kayu salib Dia menghapuskan dosa, memperdamaikan, dan dengan menanggung dosa kita sepenuhnya, Dia memperdamaikan mereka yang percaya kepada Tuhan. Oleh kebangkitan-Nya Yesus Kristus telah ditegakkan oleh Bapa-Nya, menghapuskan kuasa kematian dan mengalahkan Syaitan yang dahulunya mempunyai kuasa ke atas kematian, dan memberikan kehidupan yang kekal ke atas semua umat-Nya; oleh kenaikan-Nya Dia telah diangkatkan selamanya sebagai Tuhan dan telah menyediakan tempat buat kita untuk Bersama-Nya. Kami percaya bahawa keselamatan hanya ada di dalam-Nya, kerana tiada nama lain yang mendapat kekuasaan daripada Tuhan untuk menyelamatkan kita. Kerana Tuhan telah memilih perkara-perkara yang rendah, perkara-perkara yang hina, perkara-perkara yang tidak sepatutnya, untuk membatalkan perkara-perkara yang sepatutnya, maka tiada manusia yang boleh bermegah di hadapan-Nya—Yesus Kritus telah menjadi hikmat dari Tuhan untuk kita—iaitu, kebenaran, kekudusan dan penebusan kita.
- Pembenaran Orang Yang Berdosa
Kami percaya bahawa Kristus, oleh ketaatan dan kematian-Nya, telah membayar sepenuhnya hutang mereka yang telah dibenarkan. Oleh pengorbanan-Nya, Dia menanggung hukuman kita kerana dosa, dan memenuhi kehendak keadilan Tuhan dengan sepenuhnya sebagai ganti di tempat kita. Oleh ketaatan-Nya yang sempurna Dia telah memenuhi kehendak Tuhan yang adil di tempat kita, dan hanya oleh iman sahaja ketaatan yang sempurna itu diberikan bagi semua yang percaya hanya kepada Kristus untuk beroleh penerimaan daripada Tuhan. Sepertimana Kristus telah diberikan oleh Bapa kepada kita, dan ketaatan dan hukuman-Nya telah diterima sebagai ganti tempat kita, secara percuma dan bukan kerana apa-apa yang ada di dalam kita, pembenaran ini adalah oleh kasih kurnia yang percuma, agar kedua-dua keadilan dan kasih kurnia Tuhan yang kaya dapat dimuliakan melalui pembenaran orang yang berdosa. Kami percaya bahawa kesungguhan untuk ketaatan secara peribadi dan awam muncul daripada pembenaran yang percuma ini.
- Kuasa Roh Kudus
Kami percaya bahawa keselamatan ini, dibuktikan di dalam Alkitab dan dijamin oleh Yesus Kristus, telah diterapkan kepada umat-Nya melalui Roh Kudus. Diutus oleh Bapa dan Anak, Roh Kudus memuliakan Tuhan Yesus Kristus, dan juga sebagai Penghibur, Dia ada Bersama dan di dalam semua orang yang percaya. Dia menyabitkan dunia kepada dosa, kebenaran dan penghakiman, dan melalui kekuasaan dan kemisterian pekerjaan-Nya Dia memulihkan orang berdosa yang mati secara rohani, membangkitkan mereka kepada pertaubatan dan iman, dan di dalam-Nya mereka dibaptiskan ke dalam kesatuan dengan Yesus Kristus, yang membuatkan mereka dibenarkan di hadapan Tuhan hanya oleh kasih kurnia dan hanya melalui iman kepada Yesus Kristus. Oleh pekerjaan Roh Kudus, orang yang beriman diperbaharui, dikuduskan, dan diangkat ke dalam keluarga Tuhan; mereka terlibat di dalam sifat ilahi dan menerima anugerah daripada-Nya. Roh Kudus adalah pembayaran pendahuluan bagi janji pewarisan, dan dalam zaman ini mendiami, memandu, mengarahkan, memperlengkapkan, menyegarkan, dan memperkuatkan orang yang percaya untuk hidup dan melayani seperti Kristus.
- Kerajaan Tuhan
Kami percaya bahawa mereka yang telah diselamatkan oleh kasih kurnia Tuhan melalui kesatuan dengan Kristus dan melalui kebangunan dari Roh Kudus memasuki kerajaan Tuhan dan menikmati keberkatan daripada perjanjian baru: pengampunan dosa, transformasi dalaman yang membangkitkan keinginan untuk memuliakan, percaya, dan mentaati Tuhan, dan prospek kemuliaan yang bakal terungkap. Perbuatan baik merupakan bukti kasih karunia yang menyelamatkan. Hidup sebagai garam di dalam dunia yang semakin rosak dan sebagai terang di dalam dunia yang gelap, orang yang percaya tidak sepatutnya mengasingkan diri daripada dunia, atau pun menjadi serupa dunia: sebaliknya, kita melakukan kebaikan kepada dunia, kerana kesemua pujian dan kemuliaan bangsa-bangsa seharusnya diberikan kepada Tuhan yang hidup. Menyedari akan penciptaan siapakah ini, dan oleh kerana kita adalah warganegara kerajaan Tuhan, kita mengasihi sesama manusia seperti diri sendiri, melakukan kebaikan kepada semua, terutamanya yang tergolong di dalam keluarga Tuhan. Kerajaan Tuhan, sudah ada tetapi belum sepenuhnya direalisasikan, adalah pelaksanaan kedaulatan Tuhan di dalam dunia yang menuju kepada penebusan kesemua ciptaan. Kerajaan Tuhan adalah kuasa yang menghancurkan kerajaan kegelapan Syaitan dan membangunkan dan memulihkan melalui pertaubatan dan iman individu-individu yang telah diselamatkan daripada kerajaan kegelapan itu. Ianya membentuk satu komuniti kehidupan yang baru bersama di bawah kekuasaan Tuhan.
- Umat Tuhan Yang Baru
Kami percaya bahawa umat perjanjian Tuhan yang baru telah memasuki Yerusalem syurgawi; mereka telah duduk bersama Kristus di alam syurgawi. Gereja universal ini dinyatakan melalui gereja lokal di mana hanya Kristus menjadi Kepala; maka setiap “gereja lokal” adalah keluarga Tuhan, perhimpunan Tuhan yang hidup, tiang penopang dan dasar kebenaran. Gereja itu adalah tubuh Kristus, umat kesayangan-Nya, terukir di tangan-Nya, dan Dia telah berjanji kepada gereja selamanya. Gereja itu dibezakan melalui mesej injilnya, tatacaranya yang kudus, disiplinnya, misi agungnya, dan lebih lagi, kasihnya kepada Tuhan, dan kasih umatnya terhadap sesama dan kepada dunia. Injil yang kita hargai ini mempunyai kedua-dua dimensi peribadi dan bersekutu, yang mana tidak boleh diabaikan. Yesus Kristus adalah kedamaian kita: Dia bukan hanya membawa kedamaian dengan Tuhan, bahkan juga kedamaian untuk orang-orang yang terasing. Tujuan-Nya adalah untuk membentuk satu kemanusiaan yang baru di dalam-Nya, oleh itu memperdamaikan, dan menyatukan orang Yahudi dan bukan Yahudi kepada Tuhan melalui salib, di mana Dia menghapuskan persengketaan mereka. Gereja itu berfungsi sebagai satu tanda dunia baru Tuhan di masa hadapan apabila anggotanya hidup untuk melayani sesama mereka dan orang lain, bukannya memfokuskan kepada diri sendiri. Umat Tuhan itu adalah tempat kediaman Roh Tuhan, dan menjadi kesaksian Tuhan di dalam dunia.
- Pembaptisan dan Perjamuan Kudus
Kami percaya bahawa pembaptisan dan Perjamuan Kudus itu adalah ditetapkan oleh Tuhan Yesus sendiri. Yang pertama itu berkaitan dengan kemasukan ke dalam komuniti perjanjian baru, manakala yang kedua itu mengenai kelangsungan pembaharuan perjanjian. Kedua-duanya adalah sekaligus perjanjian Tuhan kepada kita, ditetapkan sebagai cara Tuhan memberikan rahmat-Nya, pengisytiharan awam kita untuk tunduk kepada Kristus yang dulunya disalibkan dan sekarang telah bangkit, dan penantian akan kembalinya Dia dan penyempurnaan segala sesuatu.
- Pemulihan Segala Sesuatu
Kampi percaya akan kembalinya Tuhan Yesus Kristus secara peribadi, agung, dan fizikal bersama dengan malaikat-malaikat-Nya yang kudus, di mana Dia akan berperanan sebagai Hakim, dan kerajaan-Nya akan disempurnakan. Kami percaya akan kebangkitan tubuh orang-orang yang beriman dan tidak beriman—yang tidak beriman, kepada penghakiman dan hukuman selamanya di neraka, seperti yang diajarkan Tuhan sendiri, dan yang beriman, kepada kerahmatan yang kekal bersama Dia yang duduk di takhta Domba, di syurga yang baru dan bumi yang baru, rumah kekudusan. Pada hari itu gereja akan dipersembahkan sebagai tidak bercacat-cela di hadapan Tuhan melalui ketaatan, penderitaan dan kemenangan Kristus, di mana semua dosa akan dibuang dan kesannya hilang selamanya. Tuhan akan menjadi segalanya dan umat-Nya akan terpesona dengan kekudusan-Nya yang tidak terungkap, dan semuanya adalah untuk kemuliaan kasih kurnia-Nya yang agung.